"Malik bin Abd.Razak.Kembali ke rahmatullah pada 14 Safar....."demikian catatan pada nisan tersebut.
Lama saya renung tulisan itu.Entah mengapa,hati saya terasa sebak.
Pak Cik Malik tidak ada pertalian darah dengan saya.Dia hanya salah seorang penduduk di kampung kami,di Johor,tetapi pemergiannya amat menyentuh hati saya.Kerana itulah, apabila emak memberitahu kematian Pak Cik Malik,saya yang baru pulang ke kampung tidak berlengah menuju ke kuburnya.Makin direnung nisan itu,semakin kuat ingatan saya kepada Allahyarham,terutama sejarah hidupnya yang menyayat hati.Malah ia menjadi sebutan di kampung kami.
Menurut emak,dahulu Pak Cik Malik mempunyai adik,Samat yang muda setahun daripadanya.Malik dan Samat tinggal bersama ibu mereka,yang kami panggil sebagai Mak Teh sahaja.Bapa mereka meninggal dunia semasa mereka masih kecil.Mak Teh cuma bekerja sebagai penoreh getah.Dengan pendapatan itulah dia menyara Malik dan Samat.
Ketika meningkat remaja,dalam lingkungan usianya 18 tahun,entah bagaimana terjadi pertengkaran antara Malik dan adiknya.Ia kemudiannya beralih kepada maki hamun dan akhirnya bertumbuk.Malik sebagai abang tidak mahu mengalah,sebaliknya membedal adiknya itu.Melihat kedua-dua anaknya bergomol, Mak Teh meluru ke arah mereka.
"Sudah....sudah! Kamu ni adik beradik pun nak bergaduh!" katanya.
"Adik ni,dia yang mulakan dulu..."kata Malik lantas menuduh Samat.
"Tapi kamu tu abang,mengalahlah sikit..." kata ibu mereka,
"Adik ni yang keras kepala...." Balas Malik lalu terus memukul adiknya lagi. Mereka berkelahi semula.
Sekali lagi MakTeh cuba meleraikan.Dia menolak Malik serta memarahinya. Entah syaitan mana yang sudah meresap masuk ke segenap urat nadinya,Malik yang sedang berang tanpa berfikir panjang menyepak kaki emaknya itu dan mengherdik,
" Emak ni selalu sebelahi adik.Adik buat salah pun emak salahkan saya..."
"Malik...?! Sampai hati kau buat mak macam ni," kata Mak Teh sambil memegang kakinya yang disepak oleh Malik.
Walaupun tidaklah sakit,tapi pedihnya menusuk ke hati.Setitik demi setitik air matanya berlinangan.Mak Teh langsung tidak menyangka tergamak Malik menyepaknya.
"Kalaupun kau marah Samat,takkan kaki emak yang kau sepak?" tambah Mak Teh sambil tersedu-sedan.
"Ahhhh..."dengus Malik lalu meninggalkan ibu dan adiknya.
Tidak lama selepas kajadian itu,Malik membawa diri dan bekerja dengan sebuah kapal. Beberapa tahun kemudian,ibunya meninggal dunia selepas terlalu menanggung kedukaan kerana kelakuan Malik itu.Lebih mendukacitakan,tidak lama kemudian Samat pula menyusul akibat demam panas.Tinggallah rumahnya kosong tidak berpenghuni.
Semak dan samun tumbuh meliar.Labah-labah bersarang di segenap ceruk penjuru rumah yang dinding serta lantainya mula lapuk satu persatu.Satu persatu lubang bercambah,di atap,di dinding mahupun lantai.Hari berganti minggu,minggu berganti bulan kemudian meningkat ke tahun......
Lebih 20 tahun berlalu,suatu petang orang-orang kampung terkejut apabila mendapati Malik kembali ke kampung.Masa itu saya masih budak lagi. Namun,tambah emak,tidak seperti orang-orang lain yang merantau,Pak Cik Malik pulang dengan keadaan kusut masai,tidak berwang dan tidak berharta.Kalau orang lain yang merantau pulang membawa harta,segak,bawa anak isteri dan hidup senang,Malik tidak begitu.Malah keadaannya lebih teruk lagi.
Kasihan melihat Malik yang tidak tentu arah hidupnya dan cuma bekerja kampung,jiran-jiran mengahwinkannya.Tapi perkahwinan itu tidak dapat mengubah kehidupannya.
Mereka tidak bahagia lantaran kerap bertengkar.Hanya kerana perkara yang kecil,Malik akan mengeluarkan kata-kata kesat kepada isterinya. Kadangkala dipukulnya isteri itu.Disebabkan tiada persefahaman,selalulah pinggan mangkuk melayang.
Bagaimanapun,isteri Malik amat tabah.Dia sentiasa bersabar dengan kerenah Malik. Anak-anak yang seramai empat orang menambahkan lagi kesabarannya itu.
Apabila usia meningkat,lama-kelamaan timbul kesedaran di hati Malik. Dia mula insaf dengan kehidupannya yang tidak pernah aman.Dia juga terfikir kenapa orang lain hidup mewah sedangkan taraf hidupnya tidak pernah berubah. Malik pandai bertukang rumah, tahu berkebun dan kerap ke laut membawa rezeki yang lumayan tapi ke mana pergi wangnya itu? Itulah yang memeningkannya seolah-olah rezeki yang diterima tidak mendapat berkat.Ia datang seperti angin dan hilang seperti air lalu.
Kini dia mula berubah.Malik tidak lagi memarahi isterinya dan anak-anaknya sesuka hati.Dia mula belajar menahan sabar dan rajin ke masjid. Suatu hari Malik berjumpa dengan seorang ustaz.Di depan ustaz itu dia meluahkan kekesalannya selama ini.
"Apa sebab saya jadi macam ni,ustaz?"tanya Malik selepas meluahkan segala yang terbuku di dada.
"Saya rasa,awak ada buat satu kesilapan besar.Cuba awak fikirkan...."
Lama termenung,Malik akhirnya mengaku kesalahannya mengekuarkan kata-kata kesat dan pernah pula menendang arwah ibunya sendiri.
"Kalau begitu minta ampun kepada dia?"
"Emak saya dah meninggal..."
Ustaz mengerutkan dahi.
"Macam ni,susahlah.Encik Malik,dosa kepada ibu bapa tidak dapat diampunkan. Malah Nabi sendiri tak dapat memberi syafaat kapada anak yang menderhakai ibu bapa."
Balik dari pertemuan itu,Malik terus pergi ke pusara ibunya dan memohon ampun. Dibacakannya ayat-ayat suci Al-Quran dan berdoa supaya Tuhan mengampunkan dosanya.
Sejak itu memang ketara perubahan pada dirinya.Tutur katanya lebih lembut dan semuanya kearah kebaikan dan keinsafan.Dia juga lebih menghormati orang lain,tidak macam dulu....panas barannya saja yang dikira. Saya masih ingat lagi,pernah saya terserempak dengannya ketika hendak ke bandar sebelum bertolak ke Kelantan untuk mengaji pondok.Bila melihat saya menyandang beg besar,Pak Cik Malik mendekati saya.
"Azman,belajarlah pandai-pandai.Nanti ibubapa kamu yang senang.Kalau kamu hidup senang,jangan sekali-kali kamu kecilkan hati ibubapa kamu tu.
"Kau tengok Pak Cik ni,patutnya Pak Cik dah hidup senang,tapi sebab tak ada restu, buat dosa pada emak,sampai sekarang Pak Cik hidup miskin."
Selalu juga saya terserempak Pak Cik Malik menasihati kanak-kanak. Pernah sekali, ada seorang bapa memanggil anaknya yang kebetulan berada dekat dengannya.Pak Cik Malik terus menasihati kanak-kanak itu dan berkata;
"Nak,dengar cakap emak ayah.Jangan lawan cakap emak dan ayah,tau."
Kalau kanak-kanak datang melihatnya bertukang,Pak Cik Malik berpesan lagi,
"Kamu belajarlah rajin-rajin,cari kerja yang baik-baik...jangan jadi macam Pak Cik.
Sampai tua bertukang,kerja kampung."Lagi satu bila dah kaya,jangan lupa kasi duit pada emak dan ayah.Jangan jadi macam Pak Cik.Ada duit tak kasi pada emak,lawan cakap emak..."merah matanya menahan sedih.
Masih belum dapat saya lupakan pesanannya ketika kali terakhir saya bertemunya. Kata Pak Cik Malik,
"Azman,kalau kamu hadapi hidangan,jangan kamu jamah sebelum ibu bapa kamu sentuh."
Sampai sekarang,pesanannya itu masih terdengar-dengar di cuping telinga.Nyata Pak Cik Malik benar-benar sudah insaf.Tiap nasihat yang diberikannya kepada sesiapa juga,tidak kira orang muda atau kanak-kanak,pasti berkaitan dengan ketaatan terhadap ibu bapa.
Tambah menyedihkan saya,menurut emak,ketika mula sakit,Pak Cik Malik selalu menasihati anak-anaknya supaya tidak sekali-kali menderhakai ibu mereka.
"Ingat,dialah yang lahirkan kamu."
Kata emak lagi,saat-saat kematian Pak Cik Malik sangat menyedihkan. Dia langsung tidak mahu berpakaian kecuali seluar pendek.Itupun yang yang dipakaikan oleh isterinya bagi mengelakkan malu.Disamping itu,Pak Cik Malik lebih suka berbaring di atas simen daripada di atas katil.
" Panas..panas," keluhnya.
Sebelum menghembuskan nafas terakhir,selama tiga hari tiga malam dia meraung. Tiada lain yang dia keluhkan,kecuali,
"Panas","Ampunkan saya emak",dan" Tolong saya emak,tolong."
Selalu juga dia memegang kakinya yang bengkak dan berkata
" Ya Allah,adakah kerana kaki ini pernah menyepak emak aku dulu,maka hari ini Engkau bengkakkan kakiku dan sakit semacam ini?"
Setelah tiga hari tiga malam tidak menjamah makanan dan meraung meminta ampun daripada ibunya,Pak Cik Malik ditemui meninggal keesokannya di atas simen.Yang menyedihkan,daripada mulutnya yang pernah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ibunya,mengalir lendir yang amat busuk baunya. Daripada dubur pula,terpancut najis bersemburan.
Bila mengenang semua inilah,hati saya menjadi sebak.Benar Pak Cik Malik telah insaf, tapi sudah terlambat.Benar juga dia memohon keampunan dari Allah,namun sama ada dosanya itu dimaafkan atau tidak,Yang Maha Esa yang menentukan.
Setelah membaca surah Yaasin dan Al-Fatihah,saya tinggalkan kuburan itu.Dalam hati saya berdoa semoga anak-anak Allahyarham yang sekarang ini saya lihat begitu taat kepada ibu mereka tetap ingat kepada pesanan Allahyarham.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih tinggalkan komentar.. Moga kita semua sentiasa tergolong dalam golongan orang2 yang soleh lagi solehah..